Lebur lima minit akhir, cukuplah beralasan

Pasukan Sarawak telah tewas malam tadi, dan kekalahan malam tadi adalah penting kepada peminat bolasepak Sarawak.

Dengan kekalahan semalam, pasukan Sarawak boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Challenge Cup 2018, dengan dua baki perlawanan.

Sarawak tewas 0-2 di tangan Negeri Sembilan di Kuching hasil kealpaan dalam masa lima minit terakhir. Sekali kena, terus hancur lebur. Bak kata orang kita, ‘lebor laor (basah habis)’. Sebaik wisel penamat ditiupkan, nampak kekecewaan semua yang hadir. Hendak buat macam mana, sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Malas untuk kita jelaskan mesej kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bahawa pentingnya mengubah model bola sepak agar lebih mapan dan menguntungkan dalam jangka masa panjang. Prestasi buruk pada musim 2018 ini disebabkan pengurusan skuad dan persatuan yang terumbang-ambing.

Kita telah mendengar pelbagai kenyataan dan “pemanis” sepanjang musim ini. Tidak perlulah FAS memberi alasan lagi kerana kita semua mengetahui bahawa skuad Bujang Senang sudah sukar untuk diselamatkan lagi.

Bagaimanakah pasukan dapat beraksi dengan baik jika masalah gaji masih menghantui? Bagaimanakah FAS dapat menangani masalah ini dengan lebih baik dan memberikan jaminan bahawa semuanya akan selesai? Jika tidak, masakan timbul ura-ura pemain import ‘angkat kaki’ keluar dari negeri!

Tidak malukah dengan pasukan tetangga kita, Sabah yang diam-diam menjadi pasukan pertama ke suku akhir Piala Malaysia? Tidakkah FAS mahu berdialog dengan penyokong untuk meminta pandangan dan cara untuk memulihkan bola sepak Sarawak?

Baiklah Sarawak. Kempen mungkin sudah berakhir, tetapi pastikan baki saingan menentang Terengganu FC II di Kuala Terengganu dan UKM FC di Kuching dilunaskan dengan keputusan bermaruah.

Sudah-sudahlah FAS menutup mata atas prestasi buruk pasukan. Lebih baik #BubarSarawakFA dan mulakan semula dengan struktur baharu. – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top