Perjalanan Miri FA saingan Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan terhenti semalam setelah tewas mengejut 6-1 menentang Rantau Panjang EJ-D semalam.
Pasukan Miri yang terlebih dahulu mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan pertama di laman sendiri minggu lalu berdepan cabaran getir apabila terpaksa bermain di padang lawan yang buruk dan berpasir dan menyaksikan berlaku pertukaran venue pertandingan di saat akhir oleh pasukan tuan rumah.
Pasukan Rantau Panjang berjaya menjaringkan 3 gol di babak pertama perlawanan, masing-masing di minit ke 24, 37 dan 44. Pasukan Miri pula berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 40 perlawanan.
Babak kedua bersambung menyaksikan Rantau Panjang berjaya menyumbat 3 lagi gol pada minit ke 73, 74 dan 90 perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Rantau Panjang layak ke peringkat separuh akhir Liga Bolasepak Rakyat dengan agregat 8-2.
Ketua jurulatih pasukan Miri FA, Mohd Hakimi Man mengakui bahawa mentaliti pemain kurang bersedia setelah melalui pelbagai dugaan semasa mengharungi perlawanan ini.
Beliau turut menyuarakan nada kecewa dengan tindakan tuan rumah yang menyediakan padang Stadium Mini Pasir Mas yang ternyata dibawah piawai Liga Bolasepak Rakyat.
Namun, beliau tetap optimis dan menerima kekalahan tersebut dengan hati yang terbuka. Beliau turut percaya banyak perkara dapat dipelajari dari pengalaman tersebut untuk berjaya di masa hadapan.