Jurulatih pasukan Liga Bolasepak Rakyat Miri, Encik Muhammad Hakimi Man menyuarakan ketidakpuasan hati beliau terhadap kemungkinan berlakunya perubahan saat akhir pada jadual perlawanan menentang Sibu pada 23 Disember kelak.
Menurut kenyataan beliau di laman Facebook peribadinya, jika perubahan tersebut dilakukan, ianya adalah perubahan pada “saat akhir, dan telah membuktikan Liga Bolasepak Rakyat (LBR) sebagai ‘lawak jenaka’ dan ‘caca merba'”.
Tanpa menyebut punca perlawanan tersebut mungkin ditunda, Hakimi turut menegaskan bahawa perubahan seumpanya akan menyusahkan banyak pihak, sekaligus beliau turut mengecam tindakan pihak yang meminta perlawanan tersebut ditunda atas kegagalan merancang.

Dalam pada itu, Hakimi turut memaklumkan beliau sendiri telah meneliti dan merangka jadual latihan yang padat dan intensif bagi menghadapi LBR, namun perubahan jadual perlawanan di saat akhir ternyata akan merencatkan perancangan latihan yang telah disusun rapi, serta mengakibatkan pemain bosan akibat jarak perlawanan yang panjang, serta secara tidak langsung menghilangkan keghairahan peminat untuk turun ke stadium bagi menyaksikan perlawanan.
Hakimi juga menyatakan beliau akan ‘tawar hati’ jika perlawanan LBR diantara Miri menentang Sibu ditunda, dan beliau berharap bahawa imej kejohanan tersebut dijaga oleh pasukan dan pihak yang bertanggungjawab.