Kelab bola sepak Kuching City FC (Kuching FA) tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi untuk layak ke Piala Malaysia walaupun pasukan tersebut kini di ambang mampu melakukannya.

Kuching yang hanya mahu kekal di Liga Premier musim ini sudah mencapai sasaran tersebut selepas pihak Malaysia Football League (MFL) menetapkan bahaya tidak ada penyingkiran ke Liga M3 akan dilakukan pada musim ini.

Sungguhpun demikian, tiga kemenangan berturut – turut kini menyaksikan Kuching semakin hampir layak ke kejohanan terulung bola sepak Malaysia, yakni Piala Malaysia.

Biarpun kini dilihat sudah selangkah ke Piala Malaysia, pengurusan pasukan Kuching tidak mahu hilang fokus dan mahu pemainnya kekal memberi tumpuan kepada Liga Premier.

Sungguhpun demikian, Pengurus Kuching, Iswandi Ali Hassan sedar lawan dua perlawanan akan datang bukan calang – calang dan tidak mahu pemain tertekan.

“Kami akan fokus terhadap dua baki perlawanan.  Yang pasti kami akan menentang dua pasukan hebat, iaitu JDT 2 dan Kuala Lumpur.  Oleh itu, kami tidak menggesa pemain untuk memenanginya.” kata Iswandi Ali Hassan kepada Suara Sarawak.

“Jika menang dan layak (ke Piala Malaysia) ia adalah satu bonus” katanya lagi.

Kuching, yang perlu menang kedua – dua perlawanan terakhir mereka dalam Liga Premier kelak untuk memastikan mereka layak ke Piala Malaysia walaubagaimanapun berdepan tugas berat apabila perlu menentang pasukan JDT II pada perlawanan akan datang.

Sekiranya Kuching memenangi perlawanan tersebut, peluang untuk pasukan baru berusia lima tahun itu melangkah ke Piala Malaysia dilihat amat cerah memandangkan kedudukannya di tangga ke-enam Liga Premier sekarang.