Pemain – pemain dari pasukan Kuching City FC (Kuching FA) merupakan yang paling veteran pada perlawanan Liga Premier ke-sembilan minggu lepas.

Ini adalah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak OptaJ Analytics, yang mana menyenaraikan purata umur pemain Kuching di dalam lingkungan umur 29 tahun.

Ini sekaligus menjadikan pasukan Kuching pada minggu tersebut sebagai pasukan ‘tertua’ yang bermain di Liga Premier.

Pasukan ‘abang’ Kuching, Sarawak United FC juga turut menampilkan ramai pemain veteran apabila purata umur bagi pasukan tersebut adalah yang kedua tertua di kalangan 12 pasukan Liga Premier lain.

Maklumat dari OptaJ Analytics menyebut bahawa purata umur pemain Sarawak United adalah 28 tahun, dan ini tidak menghairankan berikutan kehadiran ramai bintang – bintang veteran bola sepak Malaysia di dalam pasukan tersebut seperti Amri Yahyah, S Chanturu dan Ashri Chuchu.

Dalam perkembangan sama, empat pasukan simpanan milik pasukan Liga Super Malaysia mempunyai purata umur pemain termuda di dalam liga bola sepak kedua tertinggi di Malaysia itu.

Selangor 2 mempunyai purata pemain berumur 20 tahun, dan ini diikuti oleh JDT 2 dan Perak 2 yang mempunyai purata pemain berumur 23 tahun masing – masing.

Satu lagi pasukan simpanan, Terengganu 2, hadir sebagai pasukan yang mempunyai purata pemain termuda ke-empat terbanyak, dengan purata umur pemain diletakkan sebagai 25 tahun.