Kelab bolasepak Kuching City merancang untuk mengadakan satu siri jelajah Sarawak bermula 7 hingga 22 Disember kelak.

Siri jelajah tersebut akan menyaksikan pasukan Kuching membuat beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan – pasukan di bahagian – bahagian di Sarawak.

Sungguhpun demikian, pasukan bimbingan Akira akan kekurangan dua pemain import apabila memulakan semula sesi latihan pada bulan Disember kelak.

Laporan Suara Sarawak menyatakan bahawa dua penyerang Brazil, Hudson Dias dan Bryan Jones telah mengambil keputusan untuk balik ke Brazil untuk merayakan Krismas bersama keluarga.

Kedua – dua pemain disahkan telahpun berlepas ke Brazil oleh penolong pengurus Kuching, Iswandi Ali Hassan, yang mana mengesahkan kedua – dua pemain akan kembali ke Kuching selepas Hari Natal.

Iswandi juga mengesahkan kedua – dua pemain Brazil itu tidak akan menyertai siri jelajah Kuching kelak.

“Mereka akan kembali ke Kuching selepas Krismas. Ini bermakna kedua – duanya tidak akan bersama kami dalam siri jelajah nanti.” kata Iswandi kepada Suara Sarawak.

Dalam pada itu, dua pemain jepun Kuching, Yuta Suzuki dan Yuki Tanigawa tidak kembali ke Jepun dan dijangka akan bersama pasukan Kuching di dalam perlawanan persediaan musim baharu kelak.

Kuching mengakhiri musim sulung di Liga Premier di kedudukan ke-empat, dan tersingkir pada pusingan pertama Piala Malaysia musim ini, sebelum pertandingan tersebut dibatalkan.