Rata – rata peminat bola sepak Kuching City FC merasakan ketua jurulatih Kuching City kini, Akira Higashiyama, seharusnya dikekalkan oleh pihak pengurusan pasukan tersebut.

Komen – komen di media sosial kebanyakan menyebut bahawa Akira telah berjaya membawa Kuching ke satu kedudukan yang dihormati dan beliau seharusnya diberi lebih masa dan peluang untuk membina pasukan kerdil tersebut.

Akira, pada anggapan peminat, telah melakukan satu tugas yang baik dalam membimbing pasukan Kuching, biarpun beliau kesuntukan dana, dan menghadapi banyak kekangan.

Peminat Kuching dalam pada itu merasakan bahawa ketua jurulatih berbangsa Jepun itu masih muda dan mampu membawa pasukan Kuching mendapatkan keputusan lebih baik musim hadapan.

Dalam perkembangan sama, Harian Metro melaporkan bahawa Irfan Bakti, Pemenang Jurulatih Terbaik Kebangsaan 2011, telah juga dirisik oleh pasukan Negeri Sembilan.

Akhbar tersebut memetik sumber mereka sebagai berkata Irfan telah hadir ke pejabat Negeri Sembilan FC beberapa hari lalu dan dikhabarkan membincangkan mengenai permohonan beliau yang berminat untuk mengisi posisi selaku ketua jurulatih skuad Hobin Jang Hobin.

Kedudukan ketua jurulatih pasukan Kuching City pada musim hadapan menjadi isu menarik selepas Akira sendiri dikhabarkan enggan mengesahkan kedudukan beliau di jawatan tersebut pada musim hadapan, dengan Irfan turut hadir ke perlawanan Kuching menentang Sarawak United musim ini.