Pasukan Kuching FA belum boleh menarik nafas lega apabila pasukan yang bakal bergelar Kuching CIty FC pada musim hadapan itu hanya mendapat lesen kelab bola sepak kebangsaan secara bersyarat.

Menurut kenyataan media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), laporan audit Kuching memerlukan maklumat untuk pengesahan daripada FIB Pelesenan Kelab FAM bagi mematuhi sepenuhnya keperluan kriteria tersebut.

Dalam pada itu, pihak FIB Perlesenan Kelab FAM mahu Kuching mengambil tindakan bagi membolehkan urusan pemberian lesen kelab bola sepak diselesaikan dengan kadar segera.

FAM dalam pada itu berkata bahawa pihaknya bukan sewenang-wenangnya memberikan lesen bersyarat kepada pasukan-pasukan terbabit, sebaliknya ia dibuat berdasarkan bukti dokumentasi sokongan yang telah ditunjukkan kepada FAM selain tindakan pemantauan susulan yang akan dilakukan oleh FAM supaya syarat-syarat yang ditetapkan itu dipatuhi.

Untuk rekod, semua pasukan Liga Malaysia wajib mempunyai sekurang – kurangnya Lesen Kebangsaan untuk membolehkan mereka bermain di Liga Malaysia pada musim hadapan.

Lesen tersebut perlu diperbaharui setiap tahun dan mana-mana pasukan yang didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2020 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, akan mengakibatkan lesen kelab mereka boleh ditarik balik.