Pasukan Sarawak United FC telah diberi lesen kelab bola sepak kebangsaan secara bersyarat oleh FIB Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dan perlu membuat penambahbaikan kepada dokumen mereka jika mahukan lesen penuh dikeluarkan.

Menurut FIB Pelesenan Kelab FAM, kegagalan Sarawak United menyediakan laporan audit dan interim yang teratur menjadi punca kepada pasukan tersebut hanya diberi lesen bersyarat dan mereka mencadangkan agar pihak pengurusan pasukan tersebut menyiapkan laporan audit dan interim seperti yang dikehendaki bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.

FAM dalam pada itu berkata bahawa pihaknya bukan sewenang-wenangnya memberikan lesen bersyarat kepada pasukan-pasukan terbabit, sebaliknya ia dibuat berdasarkan bukti dokumentasi sokongan yang telah ditunjukkan kepada FAM selain tindakan pemantauan susulan yang akan dilakukan oleh FAM supaya syarat-syarat yang ditetapkan itu dipatuhi.

Untuk rekod, semua pasukan Liga Malaysia wajib mempunyai sekurang – kurangnya Lesen Kebangsaan untuk membolehkan mereka bermain di Liga Malaysia pada musim hadapan.

Lesen tersebut perlu diperbaharui setiap tahun dan mana-mana pasukan yang didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2020 atau dalam apa juga keadaan yang menyebabkan pengeluar lesen (FAM) tidak berpuas hati, akan mengakibatkan lesen kelab mereka boleh ditarik balik.

Turut sama belum mendapat lesen kebangsaan penuh adalah Kuching FA, yang mana cuma belum melengkapkan satu dokumen sahaja.