Pasukan Kuching City FC mungkin akan mencipta sejarah baharu jika pasukan Felda United menang perlawanan terakhirnya pada hujung minggu ini kelak, dan pasukan Sabah FA tewas di dalam perlawanan terakhir mereka.

Felda United yang dijangka akan menentang Selangor FC pada Sabtu ini, bakal menarik diri dari Liga Malaysia pada musim hadapan.

Jika pasukan Felda United beroleh kemenangan, dan pasukan Sabah (di tangga ke-10) tewas, kedudukan terakhir Felda akan berubah dengan Felda United menganjakkan diri ke kedudukan ke-10 Liga Super, sekaligus mengelakkan diri dari disingkirkan ke Liga Premier.

Ini akan sekaligus menyaksikan Liga Super mempunyai satu kekosangan pada musim hadapan jika Felda United tetap dengan pendirian mahu menarik diri dari Liga Malaysia pada ketika itu.

Dengan Malaysia Football League (MFL) berpendirian bahawa pasukan yang tersingkir dari sesebuah liga harus disingkirkan ‘atas merit’, tiga pasukan Liga Premier berkemungkinan akan naik ke Liga Super pada musim hadapan.

Dua pasukan yang sudah pasti akan naik ke Liga Super adalah Pulau Pinang FA dan Kuala Lumpur FA, namun Kuching, yang kin idi tangga ke lima Liga Premier, juga boleh ‘menyelinap’ masuk jika situasi mengizinkan.

Ini adalah kerana, dua pasukan di atas Kuching, JDT II dan Terengganu II, merupakan pasukan simpanan, dan mereka tidak layak untuk mendapat promosi ke Liga Super.

Situasi ini meletakkan Kuching sebagai pasukan ketiga di dalam Liga Premier (selepas pasukan simpanan tidak dikira), dan mempunyai peluang baik untuk naik ke Liga Super jika berjaya mengekalkan kedudukan mereka di Liga Premier yang kini sehingga akhir liga.

Oleh itu, kemenangan keatas Kuala Lumpur pada perlawanan terakhir kelak akan memuktamadkan kedudukan Kuching di tangga ke-lima Liga Premier, sekaligus memberi sedikit harapan dan peluang untuk pasukan muda tersebut layak ke Liga Super musim hadapan, sekiranya Felda United menang, dan Sabah tewas.

Kebarangkalian untuk situasi sempurna bagi membolehkan Kuching naik ke Liga Super musim hadapan dilihat agak sukar, namun ianya adalah tidak mustahil.

Jika benar, Kuching akan sekali lagi mencipta sejarah sebagai pasukan dari Malaysia Borneo yang paling cepat ‘naik pangkat’.

Sungguhpun demikian, harapan ini juga dilihat agak nipis ekoran berkemungkinanan ada syarikat atau individu boleh memujuk pihak FELDA (yang kini mengambil alih Felda United) untuk menjual pasukan tersebut kepada mereka, sekaligus mengekalkan pasukan tersebut di dalam Liga Super.

Situasi ini telah berlaku pada musim lepas, dan ianya tidak mustahil berlaku lagi pada musim ini.