Kelab bola sepak Kuching CIty mencipta sejarah hari ini apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penubuhan pasukan tersebut.

Ini berlaku selepas pasukan tersebut berjaya mengalahkan pasukan simpanan JDT, JDT II, 2-1 malam ini tadi.

Dengan kemenangan ini, Kuching mendapat tiga mata berharga, sekaligus menolak pasukan yang baru berusia lima tahun itu ke kedudukan kelima Liga Premier dengan 13 mata.

Kedudukan ini, selepas ditolak pasukan simpanan dalam Liga Premier, meletakkan Kuching di kedudukan ketiga Liga Premier, sekaligus menjadikan Kuching antara lima pasukan dari Liga Premier yang layak bertanding di pertandingan paling elit bola sepak profesional Malaysia.

Kejayaan Kuching ini lebih manis lagi apabila Kuching terkenal mempunyai peruntukan terhad sepanjang menjadi pasukan profesional, dengan pasukan tersebut pernah terpaksa berlatih di padang bola sepak ‘becak’ bagi persiapan menghadapi Liga M3.

Dengan kejayaan terkini Kuching ke Piala Malaysia, Kuching kini adalah pasukan pertama dari Sarawak, mahupun Borneo Malaysia yang berjaya bermain di semua peringkat pertandingan biarpun berusia kurang 5 tahun penubuhannya.

Untuk rekod, Kuching ditubuhkan pada tahun 2005, dan pernah menjuarai Liga Bola Sepak Rakyat, bermain di Liga FAM (kemudiannya dikenali sebagai Liga M3), dan kini di Liga Premier. Ketika di Liga M3, Kuching berjaya menamatkan musim 2019 di tangga kedua, dan layak ke Liga Premier secara merit selepas mengalahkan Sarawak FA di dalam perlawanan play-off Liga Premier musim lalu.

Pada musim ini, Kuching hanya menyasarkan untuk kekal di Liga Premier dengan menhuni lima tangga teratas, dan kini mendapat bonus apabila berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia dalam aksi sulung mereka di liga bola sepak profesional Malaysia. – sarawakcrocs.com