Pasukan Felda United bakal menarik diri dari Liga Malaysia pada musim hadapan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak FELDA, pasukan Felda United FC (FUFC) dan anak syarikat yang memiliki pasukan tersebut, The Fighters Sdn Bhd, akan diambil alih oleh FELDA mulai tahun hadapan.

Kenyataan FELDA berkata bahawa “Pengambilalihan tersebut adalah untuk mengawal perbelanjaan dan memastikan penyelarasan program – program sukan yang dirancang serta dilaksanakan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan serta penilaian risiko”.

Dalam perkembangan itu, FELDA juga mengumumkan bahawa penglibatan FUFC dalam Liga Malaysia akan dihentikan pada tahun 2021.

“FELDA juga ingin memaklumkan bahawa pengibatan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga tahun 2020 sahaja. Mulai tahun 2021, FUFC tidak akan menyertai Liga Super atau Liga Premier Malaysia.” kata kenyataan FELDA lagi.

Selain mengumumkan bahawa 16 kakitangan FUFC akan dibayar pampasan, FELDA turut mengumumkan pengekalan Akademi Bolasepak FELDA.

“Susulan pengambilalihan ini, Akademi Bolasepak FELDA yang dikendalikan FUFC sebelum ini tetap akan diteruskan memandangkan akademi tersebut adalah platform pembentukan bakat dan modal insan” kata kenyataan dari FELDA lagi.

Penarikan diri FUFC akan memberi impak langsung kepada Liga Malaysia musim hadapan jika pasukan tersebut berjaya mengekalkan diri di Liga Super kerana satu lagi slot Liga Super akan kosong dan perlu diisi.

Sebagai rekod, FUFC baru sahaja selesai menyelesaikan proses dokumentasi penswastaan pasukan untuk mengharungi Liga Malaysia pada musim 2021.