Pasukan Kuching FA yang baharu sahaja berjaya memasuki Liga Premier kini gigih membuat persediaan untuk memasuki liga bola sepak kedua tertinggi di Malaysia.
Terbaharu adalah menyediakan pasukan Piala Presiden seperti yang diperlukan untuk setiap pasukan Liga Premier.
Kuching FA buat julung kalinya menghantar pasukan Piala Presiden pada musim hadapan.
Menurut kenyataan Kuching FA, pemilihan Skuad Piala Presiden Kuching FA 2020 akan diadakan dalam dua fasa.
Fasa pertama akan diadakan pada 9 hingga 13 Disember 2019 bertempat di Padang KDFA Taman Sourabaya, Kuching.Pemilihan akan diadakan setiap hari pada tarikh yang ditetapkan pada jam 2.30PM.
Pasukan tersebut dalam pada itu menjemput pemain yang lahir pada tahun 2000 sehingga 2002, dan mempunyai bakat dalam bolasepak untuk mengikuti pemilihan skuad Piala Presiden Kuching FA 2020.
Pemilihan adalah terbuka kepada semua pemain bola sepak yang berminat, dan tidak terhad kepada hanya orang Kuching sahaja.
Pemain yang berminat dikehendaki hadir dengan menggunakan pakaian dan kelengkapan bermain bola sepak yang lengkap.Kuching FA juga mengumumkan bahawa pemain yang terpilih dari sesi pemilihan Fasa Pertama akan dipanggil semula untuk sesi pemilihan Fasa akhir pada 16 hingga 20 Disember 2019.