Kelab bola sepak PDRM FA akan mendenda mana – mana pemain yang berlebihan berat badan apabila pasukan tersebut kembali ke sesi latihan selepas Arahan Kekangan Pergerakan Malaysia (MCO).

Menurut laporan New Strait Times, PDRM FA akan mendenda pemain sebanyak RM100 hingga RM200.

Jurulatih PDRM FA, Ishak Kunju dilaporkan memberi amaran tersebut kepada pemain dengan menyatakan bahawa MCO ini bukanlah waktu percutian pemain.

Beliau dipetik akhbar tersebut sebagai berkata “jika mereka kembali ke kem latihan walaupun sekilogram melebihi berat badan, mereka akan didenda RM100 – RM200.”

Beliau juga didakwa berkata bahawa denda tersebut bukan untuk menyukarkan kehidupan pemain, tetapi untuk memastikan mereka kekal cergas sepanjang tempoh MCO.

Ishak dalam pada itu juga dipetik sebagai berkata bahawa pemain juga akan didenda sekiranya mereka tidak mampu berlari di dalam tempoh ujian larian apabila latihan disambung kelak.

Beliau juga menyatakan bahawa jurulatih kecergasan PDRM FA telah menghantar latihan yang perlu dilaksanakan oleh pemain sepanjang tempoh MCO ini bagi memastikan pemain kekal cergas.

Dalam pada waktu yang sama, Ishak yakin pemain – pemain PDRM FA tahu akan tanggungjawab mereka dan akan memastikan mereka tidak mempunyai berat badan yang berlebihan.