Kelab bola sepak Kuching City mungkin akan menambah satu lagi pasukan pada musim hadapan, sekaligus membesarkan lagi peluang kepada anak muda kelahiran Sarawak untuk bermain bola sepak pada peringkat lebih tinggi.

Menurut laporan Suara Sarawak, kelab bola sepak tersebut dikehendaki menyediakan satu lagi pasukan untuk pertandingan Piala Belia musim hadapan.

Kehadiran pasukan belia merupakan syarat wajib semua pasukan utama di dalam Liga Malaysia.

Pembinaan pasukan belia disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching, Fazzrudin Abdul Rahman yang memaklumkan Suara Sarawak bahawa kelabnya bersedia untuk melakukan perkara tersebut.

“Kami perlu menyediakan pasukan belia dan kami sedia merangkanya. ” kata Fazzrudin kepada Suara Sarawak.

“Buat masa ini, belum ada sesi latihan. Kita tunggu keadaan dan arahan” katanya lagi.

Sebelum ini, Kuching hanya menyediakan dua pasukan untuk Liga Malaysia, yakni pasukan utama yang bertanding di Liga Premier, dan pasukan Piala Presiden.

Dengan pertambahan pasukan Belia kelak, Kuching akan membesarkan jumlah pemain simpanan mereka, sekaligus memberi lebih ruang dan peluang pekerjaan kepada pemain bola sepak Sarawak.