Walaupun musim 2020 dianggap baru sahaja menutup tirainya bagi pasukan Kuching City FC, berita persediaan pasukan kerdil itu semakin hangat diperkatakan di media sosial.

Terbaharu adalah kemungkinan berlakukany perubahan kejurulatihan di dalam pasukan Kuching.

Beberapa sumber telah melaporkan bahawa Kuching berkemungkinan akan menukar ketua jurulatih pada musim 2021 bagi memberi pasukan tersebut lebih ‘sengat’.

Antara nama yang dikaitkan dengan Kuching adalah Irfan Bakti, yang telah hadir menyaksikan Kuching menang ke atas Sarawak United beberapa bulan lepas.

Irfan yang merupakan jurulatih berpengalaman itu tidak mempunyai pasukan pada musim 2020, dan jika benar beliau akan dilantik, kemungkinan akan berlaku rombakan di dalam barisan pemain Kuching kelak.

Dalam pada itu, Irfan sememangnya bukan nama asing lagi dalam bola sepak Malaysia dengan jurulatih berumur 70 tahun itu pernah membawa pasukan bimbinganya memenangi Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA.

Beliau juga pernah memenangi anugerah jurulatih terbaik Malaysia pada tahun 2011.