Kuching City FC (KCFC) akan terus mengekalkan empat pemain yang menjadi nadi kepada pasukan tersebut musim ini, untuk musim akan datang.

Mereka yang dikekalkan adalah penjaga gol Haziq Nadzli, penyerang sayap Ramadhan Saifullah, pertahanan tengah Rodney Celvin, serta pemain tengah Alif Hassan.

Haziq Nadzli dilihat akan terus menjadi pilihan utama di posisi penjaga gol dimana beberapa aksi penting dari beliau telaah menyelamatkan pasukan daripada dibolosi dalam situasi berbahaya.

Di bahagian serangan, Ramadhan Saifullah muncul sebagai antara pemain paling menyerlah musim ini dengan sumbangan gol dan bantuan jaringan yang signifikan.

Prestasinya di posisi sayap memberikan ancaman berterusan kepada benteng lawan, selain menjadi pencetus kepada beberapa gerakan ofensif penting pasukan.

Ketajamannya dalam situasi satu lawan satu serta kebolehannya membuat hantaran menjadikan beliau antara aset utama Kuching City musim ini.

Anak jati Serian, Rodney Celvin pula memainkan peranan penting di benteng pertahanan tengah dengan aksi yang konsisten sepanjang musim. Disiplin posisi dan kekuatannya di udara menjadikan beliau antara tonggak pertahanaan terpenting pasukan KCFC.

Akhir sekali, Alif Hassan dilihat mampu memberikan pasukan Kuching City keseimbangan taktikal pasukan ketika diperlukan.

Beliau dilihat mampu memastikan pasukan terus mengekalkan rentak yang diperlukan sekiranya ada pemain utama di bahagin tengah yang tercedera dan terpaksa dikeluarkan.

Secara keseluruhan, tindakan Kuching City FC mengesahkan keempat-empat pemain ini akan terus bersama kelab musim hadapan memberi gaambaran bahawa Kuching City tidak berhasrat melakukan rombakan yang terlalu besar biarpun bakal beraksi di peringkat lebih tinggi musim hadapan.

Strategi ini dilihat sebagai antara cara KCFC untuk memastikan pasukan bimbingan Aidil Shahrin ini dapat terus mengekalkan momentum baik mereka musim ini apabila musim baharu bermula kelak.