Pasukan Kuching City FC (Kuching FA) yang kini sudah melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia belum meletakkan sebarang sasaran untuk pertandingan tersebut.

Ini sudah pasti difahami ekoran kejayaan pasukan tersebut melangkah ke Piala Malaysia sememangnya hadir tidak terduga kerana pasukan tersebut baharu sahaja bermain di Liga Premier, dan hanya berusia lima tahun.

Malah, pasukan yang terdiri daripada kebanyakan pemain kelahiran Sarawak itu juga hanya menggangap kejayaan ke Piala Malaysia sebagai satu bonus kepada kejayaan mereka mengekalkan kedudukan sebagai sebuah pasukan Liga Premier untuk musim hadapan.

Menurut Penolong Ketua Jurulatih Kuching, Ahmad Norfaizal Patrick, dengan kejayaan pasukannya ke Piala Malaysia, beliau secara peribadi mahu pasukan bimbingannya pergi jauh di dalam pertandingan tersebut.

Beliau menggangap bahawa konsistensi pasukan Kuching kini membuatkan beliau percaya bahawa sasaran pergi jauh dalam pertandingan tersebut adalah mungkin.

Sungguhpun demikian, Norfaizal tidak mahu meletakkan apa- apa sasarawan secara rasmi dan berkata hadir keperluan pihak pengurusan Kuching, beserta barisan jurulatih beliau untuk menilai prestasi semasa sebelum membuat sesuatu sasaran rasmi untuk pertandingan tersebut.

“Sudah tentu kita ingin berjaya juga dalam Piala Malaysia.” kata Norfaizal selepas perlawanan menentang JDT II Ahad lalu.

“Jika ada rezeki seperti hari ini, kita boleh letak satu sasaran yang jauh. Jika kita lihat pada empat perlawanan lepas, konsistensi pemain berturutan selama empat perlawanan.

“Kita akan akan mempertimbangkan sasaran kita di Piala Malaysia selepas ini. Kita akan duduk dengan semua barisan kejurulatihan dan staf, dan kita akan menetapkan sasaran seterusnya berpandukan situasi semasa.” kata beliau lagi.

Kuching layak ke Piala Malaysia selepas menewaskan JDT II Ahad lalu, sekaligus meletakkan pasukan tersebut sebagai antara lima pasukan terbaik di Liga Premier dan kini menghuni kedudukan ke-lima liga tersebut.