Skuad bawah 19 tahun Malaysia terus melakar kemenangan dalam saingan kumpulan A Kejuaraan AFF Bawah 19 Tahun 2016 apabila menundukkan jiran tetangga, Singapura dengan keputusan 2-1 dalam aksi berlangsung di Stadium Hang Day, Vietnam.
Anak buah Frank Bernhardt yang tampil bersemangat setelah melakar kemenangan besar 5-0 pada perlawanan sulung ketika menentang Filipina berjaya merobek gawang Singapura yang dikawal Adib Nur Hakim Azahari pada minit ke-16 setelah rembatan padu Mohd Zairulizwan Mazlan menerjah gawang Singapura untuk jaringan pendahuluan buat skuad negara.
Singapura turut mencipta beberapa peluang bagi menyamakan kedudukan namun penyudah lemah menggagalkan usaha skuad yang dibimbing Inoue Takuya tersebut.
Ketika perlawanan babak pertama seakan berakhir dengan keputusan 1-0, satu serangan balas pantas dilakukan Malaysia apabila hantaran jauh pertahanan terus singgah di kaki penyerang utama, Muhammad Jafri Firdaus Chew yang tidak mensia-siakan peluang membuat gerakan solo bagi merembat masuk percubaan diluar kotak penalti yang sekali lagi membolosi gawang Singapura bagi menamatkan babak pertama dengan keputusan 2-0.
Singapura memperkemaskan aksi pada babak kedua dengan beberapa gerakan menarik dihasilkan namun kekentalan penjaga gol negara, Damien Lim Chien Kai terus menghampakan Singapura bagi memperoleh jaringan.
Aksi yang ditampilkan oleh skuad negara pada babak kedua juga kurang menyerlah apabila gerakan-gerakan yang dihasilkan seringkali terbatas di tengah padang.
Usaha bertali arus Singapura akhirnya berbaloi apabila sepakan percuma menarik dari Syahrul Sazali pada minit ke-82 menerjah gawang bagi jaringan tunggal buat Singapura.
Dengan 2 kemenangan yang diraih setakat ini, Malaysia berada di tangga kedua kumpulan A dengan mengutip 6 mata, satu mata dibelakang Vietnam yang menghuni tempat pertama dengan 7 mata.
Walaubagaimanapun Malaysia kekurangan satu perlawanan berbanding tuan rumah yang sudah beraksi 3 perlawanan. Malaysia akan bertemu Timor Leste pada perlawanan seterusnya, Sabtu ini.