Kelab bolasepak Kuching City sekadar memungut satu mata malam ini tadi apabila seri 2 – 2 menentang pasukan tangga terbawah Liga Premier, Skuad Projek FAM – MSN.

Pasukan Projek FAM – MSN yang belum pernah menang, mahupun seri di dalam Liga Premier setakat ini, dilihat sebagai lawan mudah bagi Kuching City sebelum perlawanan.

Sungguhpun demikian, Kuching City dilihat sukar menewaskan pasukan tersebut dan akhirnya terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Kuching City memulakan aksi mereka dengan garang, dengan menjaringkan gol seawal minit ke-10 melalui pemain import, Yuta Suzuki.

Skuad Projek FAM – MSN walaubagaimanapun menyamakan kedudukan 14 minit kemudian melalui Safwan Mazlan.

Bersambung babak kedua, kedua – dua pasukan saling berbalas serangan, namun Kuching City sekali lagi meletakkan diri mereka di hadapan melalui Alif Hassan.

Alif melakukan satu jaringan cantik pada minit ke-58, dengan merembat masuk satu sepakan percuma dari luar petak penalti.

Pasukan Skuad Projek FAM – MSN enggan mengalah, dan terus menambah serangan ke arah kubu Kuching City.

Hasilnya, pasukan tuan rumah berjaya menjaringkan gol penyamaan melalui pemain gantian Muhammad Farris pada minit ke-81, yang sekaligus menidakkan kemenangan yang dicari Kuching City.

Kedudukan seri 2 – 2kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan seri itu tidak membantu misi Kuching City yang mahu melangkah ke Liga Super pada musim hadapan, dan ianya boleh dilihat sebagai satu keputusan yang ‘kurang baik’ bagi pasukan tersebut yang kini di kedudukan bawahan liga.