Liridon Krasniqi kini sudah sah akan menyarung jersi pasukan kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya.

Ini berikutan pengesahan bahawa beliau telah kini sah bergelar pemain naturalisasi kedua negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya sudah mendapat surat kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk membenarkan Liridon bermain untuk Malaysia, sekaligus menyaksikan pemain kelahiran Kosovo itu bakal menggalas tugas selaku pemain tengah baharu pasukan kendalian Tan Cheng Ho.

FAM sebelum ini telah mengumumkan Liridon sah mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia melalui proses penaturalisasian, namun beliau tidak dapat terus bermain untuk pasukan Harimau Malaya berikutan belum menerima kelulusan dari FIFA.

Sungguhpun demikian, penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia 2022 telah nampaknya memberi tuah buat Liridon dan Harimau Malaya dengan Liridon akhirnya diberikan kelulusan yang diperlukan untuk menyarung jersi belang hitam kuning Harimau Malaya.

Dengan pengesahan status Lirion selaku pemain Harimau Malaya, beliau akan menyertai seorang lagi pemain naturalisasi Malaysia, yakni Mohamadou Sumareh.