Selepas heboh berkenaan berita Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing bakal menerima pencalonan kukuh untuk jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) petang tadi, kini timbul pula maklumat terkini yang menyatakan bahawa James tidak akan bertanding untuk jawatan tersebut.
Maklumat diperolehi daripada Kennedy Kuyang, yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kapit.
Menurut Kennedy, beliau yang mewakili James “ingin memaklumkan pada seluruh peminat bola sepak Negeri Sarawak bahawa beliau (James) tidak akan bertanding dalam AGM yang akan datang atas faktor masa dan jadual kerja yang amat padat.”
Dalam pada itu, Kennedy menyeru kepada semua individu yang berminat menjadi Presiden FAS agar menghantar borang pencalonan bagi membolehkan mereka bertanding, dan seterusnya dilantik sekiranya menang.
Calon-calon yang dilihat berkebolehan untuk menduduki ‘kerusi panas’ itu kini semakin kecil apabila dua daripada calon yang disebut ramai sudah menyatakan mereka tidak mahu akan jawatan Presiden FAS.
FAS dijangka melantik presiden baharu pada Mesyuarat Agung yang akan diadakan pada 17 September ini.