Isu berkaitan pelepasan Muamer Salibasic akhirnya selesai dengan beliau kini dalam perjalanan balik ke Bosnia melalui Kuala Lumpur.
Sumber kami memaklumkan bahawa proses penebusan kontrak Muamer akhirnya berjaya diselesaikan dengan pihak Sarawak FA (FAS) akhirnya bersetuju untuk menamatkan kontrak beliau mengikut apa yang tertera di dalam kontrak asal yang beliau tandatangani pada awal musim 2014.
Menurut Mr Kopi pula, Muamer bercadang untuk berehat dari dunia bolasepak sambil mendapatkan rawatan untuk kecederaan yang beliau alami. Mr Kopi juga menambah bahawa Muamer dalam pada itu turut bercadang untuk berkahwin.
Isu pelepasan Muamer sebelum ini hangat diperbahaskan selepas pihak pengurusan Sarawak melaporkan bahawa beliau telah dilepaskan dari khidmatnya di Stadium Negeri. Sungguhpun demikian, Muamer masih lagi hadir pada sesi latihan Sarawak, dan ini sekaligus membawa kepada banyak persoalan berkenaan masalah pelepasan beliau.
Dalam pada itu, pihak SarawakCrocs.com juga telah dimaklumkan oleh satu sumber bahawa Muamer masih lagi terikat bersama Sarawak sungguhpun kontrak dikatakan terbatal, dan Muamer dikatakan tidak berpuas hati dengan cara pihak FAS ingin menamatkan kontrak beliau.
Muamer merupakan bintang import Sarawak pada musim 2013, yang mana turut membantu Sarawak merangkul kejuaraan Liga Premier. Beliau yang dianggap sehebat lagenda bolasepak Sarawak John Hunter walaubagaimanapun gagal menyerlah pada musim 2014 apabila mengalami kecederaan serius selepas perlawanan pertama Liga Super.
Beliau gagal pulih sepenuhnya sepanjang musim 2014, dan ini telah membawa kepada pihak FAS mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya di Sarawak apabila musim 2014 berakhir.
Kepada Muamer Salibasic, terima kasih diucapkan atas khidmat anda, dan kami percaya, anda akan kekal sebagai salah seorang lagenda di bumi Sarawak ini.