Jurulatih Irfan Bakti telah sah mengikat kontrak bersama Kuching City FC minggu ini.
Ketua jurulatih dengan pengalaman luas itu berbuat demikian di Ibu Pejabat Kuching City dengan disaksikan pemilik kelab tersebut Fazzruddin Abdul Rahman.
Majlis serba ringkas itu telah dikongsikan oleh pihak Kuching City di media sosial mereka.
Irfan yang baru sahaja selesai kuarantin 14 hari di salah sebuah hotel di Kuching telah sebelum ini meletakkan sasaran untuk membawa pasukan Kuching City ke persada Liga Super pada musim hadapan.
Pemenang Jurulatih Terbaik Kebangsaan satu kali itu merupakan seorang jurulatih yang disegani di Malaysia dan pelantikan beliau sebagai Ketua Jurulatih Kuching City menandakan hasrat besar Kuching City untuk mencabar musim ini.
Rekod Irfan sememangnya menceritakan beliau boleh membawa kelab Kuching City pergi jauh dengan beliau pernah memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA sebelum ini.
Selain itu, Irfan juga telah banyak kali membawa pasukan bimbingannya menjadi naib juara Liga Super, Liga Premier dan Piala Malaysia.