Inisiatif AFL dan MFL bantu pasukan Liga M3 dapat reaksi positif

Inisiatif daripada Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) untuk membantu pasukan-pasukan Liga M3 dengan melaksanakan proses pembayaran terus kepada pengadil perlawanan serta pembayaran separuh kos penerbangan ke Kuching, Sarawak disambut positif oleh pasukan yang bertanding.

Presiden Puchong Fuerza FC, Azrul Izwan Abdul Rahim menganggap langkah yang diambil itu sememangnya mampu meringankan beban kewangan sekali gus memberikan semangat baharu untuk mereka fokus kepada persiapan pasukan dengan lebih baik.

Puchong Fuerza sebelum ini tidak pernah mengalami masalah untuk membuat pembayaran terlebih dahulu kepada pengadil perlawanan dan ia adalah satu bonus apabila MFL akan terus menanggung pembayaran tersebut selepas ini.

Paling memberi kesan buat pasukan itu adalah pembayaran separuh kos penerbangan yang melibatkan perlawanan di Kuching, Sarawak di mana Azrul percaya banyak kelab dan pasukan bergelut untuk membayar sepenuhnya kos penerbangan ke sana sebelum ini.

Jelasnya, bantuan daripada MFL ini juga adalah tepat pada masanya apabila Puchong Fuerza bakal bertandang ke Kuching pada bulan hadapan bagi aksi menentang Kuching FA yang menjadi perlawanan pertama mereka di sana.

“Sememangnya inisiatif daripada MFL dan AFL ini amat meringankan beban kami kerana bukan senang untuk mencari peruntukkan bagi menguruskan pasukan.

“Bagi Puchong Fuerza, kami tiada masalah untuk mendahulukan wang kepada pengadil perlawanan kerana memang ia akan dibayar kembali kepada pasukan.

“Cuma pembayaran separuh koş penerbangan ke Kuching itu yang paling saya alu-alukan kerana kos sememangnya mahal kalau terbang ke sana dan apabila MFL ingin bayar separuh pun sudah lebih daripada mencukupi.

“Kalau boleh selepas ini tidak ada lagi yang cuba nak mengapi-apikan pasukan Liga M3 dan MFL kerana inisiatif seperti ini sudah membuktikan bahawa MFL sentiasa berusaha untuk membantu kelab yang bertanding dari masa ke semasa”, katanya.

President Glory United, Rohizan Abdullah pula melihat pendekatan yang diambil oleh MFL dan AFL ini banyak memberi kelebihan kepada pasukan bertanding untuk lebih fokus dan tidak lagi terlalu memikirkan masalah kewangan.

Jelasnya, tidak semua mampu untuk membuat pembayaran terlebih dahulu kepada pengadil perlawanan dan bantuan yang diberikan oleh MFL akan menjadikan pengurusan pasukan lebih teratur lebih selepas ini.

Begitu juga pendapat yang diutarakan oleh penolong pengurus pasukan Kelantan United, Nik Khuzaimi Nudin yang menyifatkan MFL tidak pernah mengabaikan pasukan-pasukan Liga M3 sebaliknya terus mencari jalan membantu meringankan beban ditanggung mereka.

“Semua pasukan dalam Liga M3 kalau boleh nak kurangkan beban yang ditanggung dan bantuan daripada AFL dan MFL ini hadir pada masanya kerana dapat memberi semangat baharu kepada pasukan serta tidak perlu lagi tertekan fikir mengenai masalah kewangan.

“Kami memang menanti inisiatif seperti ini khususnya melibatkan pembayaran terus kepada pengadil perlawanan kerana sebelum ini agak bergelut juga nak cari peruntukkan untuk kami mendahulukan pembayaran dan ingin berterima kasih kepada MFL dan AFL atas usaha ini”, jelas Rohizan.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top