Perkhabaran gembira menanti buat pasukan amatur yang beraksi di Liga M3 apabila Malaysian Football League (MFL) telah bersetuju untuk melaksanakan proses pembayaran terus kepada pengadil perlawanan tanpa melibatkan lagi campur tangan daripada kelab-kelab amatur bermula Sabtu ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam yang memberitahu, pengendali Liga Malaysia itu bersedia tampil membantu pasukan-pasukan amatur tersebut dalam usaha melancarkan pengurusan kos perlawanan yang membabitkan kelab-kelab dari Liga M3 sahaja.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Jelas Kevin, beliau berharap perkhabaran positif itu sekurang-kurangnya dapat memberikan sokongan dan membantu kelab-kelab Liga M3 menjadi lebih fokus dalam menguruskan persiapan pasukan daripada sudut kewangan ke arah lebih positif di mana beliau optimis plafform Liga M3 memiliki potensi untuk menjadikan industri bola sepak tempatan menjadi lebih berdaya saing.

“MFL sentiasa komited untuk membantu pasukan Liga M3 apabila mereka tidak perlu lagi membuat pembayaran terus kepada pengadil perlawanan.

“Ini kerana MFL sendiri akan melakukan pembayaran terus kepada setiap pengadil terlibat selepas kami menerima setiap invois yang dihantar oleh kordinator perlawanan kepada MFL sendiri.

“Proses ini secara tidak langsung akan memudahkan setiap pasukan amatur di mana mereka tidak perlu lagi membayar kos pengadil dianggarkan bernilai RM1,800 bagi setiap perlawanan kerana MFL akan melakukan transaksi pembayaran terus kepada setiap pengadil yang terlibat.

“Justeru, MFL and AFL (Amatur Football League) sentiasa komited untuk membantu kelab-kelab daripada mengeluarkan wang pasukan dahulu untuk membayar pengadil dan dengan proses ini akan memudahkan pengurusan pasukan amatur daripada sudut kewangan bagi menguruskan keperluan lain berdasarkan kesesuaian kelab mereka sendiri,” katanya.

Sebelum ini, pembayaran elaun pengadil akan dibuat oleh pasukan tuan rumah dan selepas itu pasukan tuan rumah akan membuat tuntutan kepada MFL.