Kemelut dalaman masalah Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) kian berlarutan apabila pemenang dan penganjur Piala Sarawak 2017 masih belum menerima hadiah wang dan piala seperti yang dijanjikan sejak tahun lepas.
Menurut satu sumber sahih yang telah kami terima, pihak penganjur Piala Sarawak 2017 iaitu Persatuan Bolasepak Mukah (MuFA) masih menunggu pembayaran kos penganjuran sejumlah RM25,000 yang dijanjikan oleh FAS sejak November tahun lepas.
Malah, FAS turut dipercayai belum membayar penuh wang peruntukan untuk semua Persatuan Bolasepak Bahagian yang menyertai Piala Sarawak 2017.
Setiap persatuan bolasepak bahagian dijanjikan untuk menerima RM5,000. Namun, FAS dilaporkan hanya telah membayar RM3,000 kurang RM2,000 seperti yang dijanjikan.
Lebih memalukan, pihak FAS turut dikhabarkan belum melunaskan bayaran hadiah wang tunai kepada pemenang Piala Sarawak bagi johan, naib johan dan tempat ketiga kejohanan.
Pihak penganjur kejohanan iaitu MuFA terpaksa berhutang sebanyak RM27,000 semasa menganjurkan kejohanan tersebut.
Pihak MuFA turut dijanjikan untuk menerima bayaran selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Februari lalu, namun hingga kini masih belum menerima apa apa bayaran.
Adalah dipercayai bahawa masalah pembayaran bukan sahaja melibatkan penganjuran Piala Sarawak, tetapi juga melibatkan beberapa persatuan bolasepak bahagian lain yang bernaung di bawah FAS.
Adalah menjadi harapan bahawa FAS akan melunaskan segala bayaran apabila menerima geran sebanyak RM1 juta dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) esok.