Hudson Dias kembali memperkuatkan pasukan Kuching

Penyerang Hudson DIas akan kembali memperkuatkan pasukan Kuching City FC apabila pasukan tersebut menentang pasukan Perak 2 malam ini.

Perak 2 yang sebelum ini berkongsi mata dengan pasukan jiran tetangga Kuching City, Sarawak United, akan cuba untuk menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk memungut mata penuh bagi membolehkan pasukan tersebut keluar dari kelompok bawahan Liga Premier, manakala Kuching masih tercari kemenangan pertama mereka di dalam liga tersebut.

Hudson yang sebelum ini tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan, dijangka akan diturunkan setelah penolong jurulatih Kuching, Sharizan Sahari mengesahkan bahawa beliau telah pulih dari kecederaan.

“Hudson Dias sudah pulih dari kecederaan hamstring dan beliau akan turun beraksi menentang Perak 2” kata Sharizan kepada Suara Sarawak.

“Kehadiran semula penyerang tinggi lampai itu dalam barisan utama malam esok amat dinanti malah diharap mampu memberi sinar dalam usaha kita mencipta keputusan positif” kata Sharizan lagi.

Kuching dalam pada itu belum lagi bebas dari kecederaan dengan tiga pemain utamanya, Jones Anicezio, Hairol Mokhtar dan Rafiezan Razali masih dilaporkan cedera.

Pasukan muda ini kini menghuni tangga tercorot Liga Premier dengan satu mata dari lima perlawanan.

Kemenangan ke atas Perak 2 malam ini tidak akan mengubah kedudukan Kuching di dalam liga, namun ianya akan sedikit sebanyak memberikan Kuching peluang untuk terus bersaing di dalam liga tersebut.

Untuk rekod, Malaysia Football League telah menetapkan bahawa tiada penyinkiran ke Liga FAM akan berlaku pada musim ini ekoran pembatalan Liga FAM akibat Covid-19.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top