Harimau Malaya tak jadi pergi Bahrain

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memaklumkan bahawa Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di antara skuad kebangsaan, Harimau Malaya bertemu Bahrain di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, Bahrain yang dijadual pada 21 Mac 2020 terpaksa dibatalkan.

Ini disebabkan Kerajaan Bahrain pada Jumaat lalu (21 Februari 2020) telah mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan membabitkan individu-individu dari negara yang berdekatan atau berhampiran dengan wabak COVID-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

Menerusi surat yang diterima FAM daripada Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA), hari ini, setiausaha agungnya, Ebrahim Saad Al Buainain memaklumkan bahawa pihaknya memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan penganjuran perlawanan berkenaan.

Ini berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

FAM menerima secara terbuka pembatalan aksi bertemu Bahrain ini dan akan melakukan pelan alternatif bagi penyediaan pasukan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya kini kendalian Tan Cheng Hoe dan perlu mempersiapkan diri untuk bertemu UAE di Dubai pada 26 Mac 2020 dan menentang Vietnam di Bukit Jalil pada 31 Mac 2020.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top