Perlawanan pertama pasukan Piala Presiden bagi Kuching FA U19 dan Sarawak United U19 menyaksikan pasukan ‘abang’ berjaya menewaskan pasukan ‘adik’.

Di dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Negeri sebentar tadi, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan hasilnya Kuching FA U19 berjaya meledakkan gol pertama perlawanan pada minit ke-56 melalui Amirul Iqmal yang berjaya menanduk kemas sepakan percuma untuk ianya menerjah belakang gawang Sarawak United U19.

Sarawak United U19 menyamakan kedudukan apabila sepakan penjuru pada minit ke-67 berjaya ditanduk masuk oleh Mohd Zul Ikram untuk gol kepada pasukan tuan rumah.

Sarawak United U19 terus menyerang dan hasilnya Amirul Haidi meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-81 selepas beliau menyempurnakan ‘set-piece’ hasil lontaran Billy Gibson.

Pasukan tuan rumah terus menyerang dan gol ketiga berjaya dihasilkan oleh Sarawak United U19 melalui Iskandar Syah.

Kuching berjaya merapatkan jurang melalui pemain Wan Fazrin pada minit-minit terakhir perlawanan apabila rembatan kencang beliau gagal diselamatkan penjaga gol Sarawak United U19.

Sungguhpun demikian, gol tersebut terbukti gagal mengubah keadaan dengan kemenangan terus berpihak kepada pasukan Sarawak United U19 pada masa penuh.

FT Sarawak United U19 3-2 Kuching FA U19