Harapan Kuching City di bahu Michael

Kuching City FC menyandarkan harapan kepada penyerang baharu, Michael Ijezie Chukwubunna untuk mencipta impak besar kepada pasukan dalam misi meraih tiga mata berdepan Terengganu FC II dalam aksi Liga Premier, Sabtu ini.

Menurut ketua jurulatih, Irfan Bakti, kelemahan utama pasukan yang sering menjadi punca di atas padang adalah daripada aspek penyudah yang tumpul untuk menjaringkan gol.

Justeru, bekas pengendali Terengganu FC ini menyifatkan kehadiran penyerang kelahiran Nigeria ini diharap dapat menutup kembali kelemahan itu bagi membantu pasukan memenangi perlawanan pada Sabtu ini.

Apatah lagi, kedudukan mereka ketika ini masih belum selamat apabila berada di tangga kelapan dan tidak boleh lagi tercicir mata untuk mengelak daripada terperosok di zon penyingkiran.

“Saya harap keputusan positif dapat diraih sebab kita dah lama tunggu liga bersambung kembali, jadi macam-macam mana pun kita kena cuba untuk mengutip seberapa banyak mata untuk kekal di Liga Premier.

“Kita tidak ambil mudah menentang Terengganu FC II, dan saya sedar masalah besar kami selama ini adalah susah untuk menjaringkan gol.

“Tetapi, dengan penyerang baharu yang kita ada ini menggantikan yang lama iaitu Bryan Jones, saya dapat lihat dia semakin serasi dengan pasukan ini.

“Jadi, apabila makin serasi, rasanya tiada masalah untuk kita harapkan dia dan rakan-rakan lain agar dapat menampilkan aksi terbaik pada Sabtu ini untuk meraih kemenangan,” katanya.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top