Dengan nama Gabriel Nistelrool disebut – sebut peminat bola sepak tempatan, pihak SarawakCrocs telah cuba menghubungi beliau untuk mendapatkan reaksi terkini beliau apabila berjaya menjaringkan gol untuk JDT II baru – baru ini.

Nisterlrooy, ketika dihubungi mengakui beliau belum lagi dianggap pemain kesebelasan utama pasukan JDT II, namun akan memberikan yang terbaik bagi memastikan beliau akan terpilih sebagai pemain kesebelasan suatu hari nanti.

Beliau juga melahirkan kesyukuran beliau kerana telah dipanggil untuk menyertai pasukan tersebut dan telah bekerja keras untuk mengekalkan kecergasan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana menghadkan sesi latihan berpasukan.

Beliau juga berharap bahawa jurulatih beliau akan memberi lebih banyak masa untuk beliau bermain bersama pasukan JDT II agar pengalaman beliau di peringkat kedua tertinggi bola sepak Malaysia akan bertambah.

Nistelrooy turut mengakui bahawa masih banyak lagi yang beliau harus pelajari untuk membolehkan beliau menjadi pemain bola sepak yang berkualiti dan berjanji akan memberikan 100% kudrat untuk memastikan impian beliau terpanggil sebagai pemain kebangsaan suatu hari nanti menjadi kenyataan.

“Saya bersyukur kerana telah dipanggil menyertai JDT II setelah beberapa bulan berehat akibat Covid-19. Sepanjang PKP, saya telah memastikan kecergasan saya dikekalkan dan amat berterima kasih kerana diberi peluang bermain ketika JDT II menentang PDRM FA.” kata Nistelrooy ketika dihubungi.

“Sebenarnya saya masih perlu bekerja lebih keras lagi untuk meningkatkan prestasi saya. Saya berharap bahawa coach akan memberi saya lebih banyak peluang untuk bermain di peringkat ini (Liga Premier) agar pengalaman saya boleh dipertingkatkan.

Apabila ditanya berkenaan keadaan beliau di JDT, Nistelrooy memuji sikap profesional kelab tersebut dan mengakui telah banyak belajar apabila tiba di kelab tersebut.

“Saya sangat gembira bersama JDT. Banyak yang saya pelajari dari JDT.” kata Nistelrooy.

Untuk rekod, Nistelrooy telah menyertai pasukan JDT4 pada tahun 2019.