Bekas pertahanan Sarawak, Gabor Gyepes digugurkan kerana laporan doktor memaklumkan bahawa beliau tidak akan sembuh sebelum atau semasa perlawanan pra-musim 2015.

Menurut Ketua jurulatih Sarawak, Gabor sudah sememangnya cedera panjang musim lalu akibat kecederaan hamstring, dan beliau hanya sembuh sepenuhnya apabila musim 2014 sudah tamat. Kontrak Gabor juga telah tamat pada penghujung 2014, dan satu perjanjian baharu telah dibuat dengan pemain pertahanan dari Hungary tersebutl.

Mengikut Robert dalam temuramah bersama Mr Kopi dari SarawakCrocs.com, sesi rundingan kontrak bersama Gabor telah dibuat sebelum musim 2015 bermula, namun beliau telah mengalami kecederaan ibu jari kaki semasa sesi latihan bersama skuad Bujang Senang.

Kecederaan Gabor disahkan oleh tiga pakar perubatan, yang semuanya berpendapat Gabor memerlukan sekurang-kurangnya 6-8 minggu untuk sembuh.

Tambah Robert, ini bermakna Gabor tidak akan dapat mengikut semua persediaan pra-musim Sarawak, dan sekurang-kurangnya empat perlawanan awal musim 2015.

Robert berkata bahawa situasi tersebut adalah sukar bagi dirinya, tapi beliau tidak mahu kehilangan pemain import seperti yang berlaku pada musim 2014, dan memandangkan Gabor tidak mempunyai kontrak bersama Sarawak, beliau telah digugurkan untuk membuka ruang bagi pemain baharu.

Sebelum ini, Gabor telah melahirkan kekecewaan beliau kerana digugurkan pada saat akhir oleh Sarawak, dan beliau telah memaklumkan kepada kami di SarawakCrocs.com bahawa beliau telah pulih sepenuhnya sebelum musim 2015 bermula yakni pada bulan Disember 2014.