Kejayaan pasukan Kuching City FC (Kuching FA) mengalahkan pasukan simpanan JDT FC, yakni JDT II pada Ahad lalu mendapat pujian daripada penolong ketua jurulatihnya Ahmad Norfaizal Patrick.

Beliau yang ditemui selepas perlawanan tersebut memberi pujian kepada pemain pasukan Kuching yang telah bekerja keras sepanjang perlawanan bagi memastikan tiga mata menjadi milik pasukan tuan rumah.

Menurut Norfaizal, pemain telah bermain dengan sangat berdisiplin, dan kejayaan menewaskan JDT II merupakan satu kejayaan besar.

Nurfaizal juga mengakui bahawa kejayaan menewaskan JDT II, dan seterusnya berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia adalah seperti berjaya mencapai sebuah impian.

“Perlawanan hari ini sangat membanggakan. Pemain sangat berdisiplin dan bekerja keras dari awal hingga akhir perlawanan. JDT adalah sebuah nama yang besar dan bukan mudah untuk menundukkan mereka.” kata Norfaizal kepada pemberita selepas pasukab beliau berjaya menewaskan JDT II.

“Apa yang membuatkan kita berjaya adalah sebab Kuching bekerja sebagai satu pasukan, dari pihak pengurusan sehingga pemain. Kita semua sentiasa saling mengingatkan sesama diri sehinga kita berjaya hari ini.”

“Sebagai seorang jurulatih, ini adalah satu impian yang telah tercapai.

“Kuching adalah satu pasukan baharu dan kejayaan kita ini adalah usaha satu keluarga Kuching FA.” kata Norfaizal lagi.

Biarpun berjaya menewaskan JDT II, jurulatih Kuching itu tetap memuji persembahan lawannya dan mengakui telah berjaya mempelajari serba sedikit lagi berkenaan strategi bola sepak.

“Kita juga telah berjaya belajar dari JDT yang telah bermain dengan baik.” katanya lagi.

Kuching kini telah layak ke Piala Malaysia musim ini dan dijangka bertemu Kuala Lumpur FA pada perlawanan terakhir Liga Premier 2020 Jumaat ini.