Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mengesahkan bahawa kedua-dua Milos Raichovic dan Mateo Roskam akan kembali menyraung jersi pasukan Bujang Senang pada musim hadapan.
Presiden FAS, Dato Posa Majais dipetik akhbar Utusan Sarawak sebagai berkata pihak FAS telahpun mencapai persetujuan bersama kedua-dua pemain bagi memastikan mereka menyertai pasukan Bujang Senang untuk musim ini.
Dengan kemasukan Milos dan Mateo, Sarawak FA kini mempunyai tiga pemain import selepas turut mengambil seorang lagi pemain import baharu yakni Nebojsa Marinkovic sah menjadi pemain Sarawak FA baru-baru ini.
Posa dalam laporan sama turut memberi indikasi bahawa FAS juga di dalam proses berbincang dengan beberapa orang pemain import lain yang menepati ciri-ciri yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sambil mengesahkan bahawa rundingan kini di dalam fasa terakhir.
Dalam pada itu, Posa juga mengesahkan bahawa jika semua rundingan lancar, senarai nama pemain bagi musim 2018 bagi pasukan mungkin boleh diumumkan pada hari Jumaat ini.