Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Dato Sudarsono hari ini memaklumkan kepada kami bahawa tidak wujud krisis gaji di kalangan pemain Sarawak. Beliau menjelaskan demikian untuk menangkis khabar angin sebelum ini bahawa Sarawak mempunyai krisis gaji pemain.
Beliau mengakui bahawa wujud sedikit kelewatan pembayaran gaji pada bulan ini, namun ianya bukanlah disebabkan masalah masalah teknikal dan bukanlah masalah dana seperti yang dikhabarkan.
Menurit Sudarsono, kaedah pembayaran gaji pemain telah menyebabkan berlaku sedikit kelewatan pada bulan lalu, namun beliau menegaskan bahawa kelewatan tersebut tidak melanggar mana-mana kontrak di antara FAS dan pemain. Sudarsono menambah bahawa pemain pada kebiasaanya menerima gaji pada 28 haribulan setiap bulan, namun kontrak mereka menyatakan bahawa gaji mereka sepatutnya diperolehi sebelum hari ke-tujuh bulan baharu.
Dalam perkembangan sama, Sudarsono menyatakan bahawa jika kontrak pemain diteliti, sememangnya tidak wujud isu ‘pemain lambat dibayar’ kerana FAS membayar gaji lebih awal dari sepatutnya. Sudarsono walaubagaimanapun mengakui bahawa mungkin disebabkan pemain biasa mendapat gaji pada 28-haribulan, mereka mungkin sedikit terkejut apabila mendapati gaji mereka belum masuk selepas tarikh tersebut berlalu.
Sudarsono turut memaklumkan bahawa semua pemain telah menerima gaji mereka kelmarin, dan masuk ke akaun pemain hari ini (Tempoh sehari diperlukan oleh bank untuk çlear pembayaran), sambil memberitahu bahawa beliau sendiri telah berjanji dengan pemain sebelum musim bermula bahawa masalah gaji tidak akan timbul selagi beliau presiden FAS.
Ujar Sudarsono, beliau bersyukur bahawa Sarawak masih mempunyai yang yang cukup untuk membayar semua pemain di bawah jagaannya sehingga tamat musim.
Pihak FAS dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi melalui laman Facebook mereka kelak berkenaan isu ini.