Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan mula mengutip derma untuk bekas pemain Sarawak FA, Aidil Mohamed malam ini.

Ini adalah tindakan yang sejajar dengan kenyataan Preseiden FAS Posa Majais sebelum ini yang memberitahu bahawa pihak FAS akan melaksanakan kutipan derma bagi Aidil Mohamed.

Dalam kenyataan di media sosial di laman Sarawak United, Sarawak United menjelaskan bahawa kutipan derma akan dibuat di pintu masuk untuk perlawanan persahabatan menentang Melaka United malam ini.

Kenyataan itu berkata “pihak FAS akan menyediakan tabung bantuan khas kepada Saudara Aidil Mohamad iaitu bekas penjaga gol pasukan Sarawak FA.

“Tabung tersebut akan ditempatkan di pintu masuk Stadium Sarawak dan bagi sesiapa yang ingin menderma, boleh lah berbuat demikian ketika datang menonton perlawanan persahabatan malam ini.”

Kenyataan itu juga menyebut bahawa “Aidil kini mengalami penyakit yang berkaitan terlebih darah putih dan memerlukan rawatan susulan setiap bulan ke hospital Sibu bersama doktor pakar dari Kuching.”

Kenyataan Sarawak United itu seterusnya memaklumkan bahawa “sesiapa yang ingin menyumbang terus kepada saudara Aidil berikut adalah no akaun bank beliau sendiri 161109286892 (Maybank) Aidil Mohamad atau menghubungi 0148979277.”

Kempen mengutip derma untuk Aidil telah dimulakan oleh pihak Persatuan Bolasepak Bahagian Bintulu dan Persatuan Bolasepak Bahagian Mukah, yang mana telah mengadakan perlawanan amal pada hujung minggu ini bagi mengutip derma untuk Aidil.