Bekas pemain Hospital Langkawi FC dan Protap FC yang kini mewakili pasukan Sarawak FA, Azrizan Ahmad mencuri perhatian dalam aksi Pusingan Kelayakan Piala FA 2020 selepas berjaya meledak empat gol sekali gus membantu pasukan mara ke Pusingan Pertama semalam.

Sarawak berjaya mengharungi Pusingan Kelayakan ini dengan kemenangan besar 6-1 ke atas pasukan Liga M4, Red Spade United FC.

Azrizan dipetik laporan Malaysia Football League (MFL) sebagai berkata bahawa beliau berpuas hati apabila dapat menampilkan aksi bertenaga pada penampilan pertamanya bersama Sarawak FA.

Beliau juga dipetik sebagai berharap ingin terus membantu pasukan agar mara lebih jauh dalam saingan Piala FA ini.

“Saya memang teruja apabila diberi peluang untuk menyertai pasukan Sarawak pada musim ini dan berjaya tampilkan aksi terbaik untuk perlawanan pertama.

“Semua tahu pasukan Sarawak dahulunya sebuah pasukan hebat dan bukan calang-calang, jadi saya berazam ingin bantu pasukan ini untuk kembali mencipta nama selepas jatuh ke Liga M3 musim ini.

“Selain itu, saya juga ingin pastikan prestasi saya terus konsisten bersama Sarawak untuk terus membantu pasukan harungi saingan Piala FA,” katanya kepada MFL.

Sarawak FA pernah menjuarai Piala FA pada tahun 1992 dan kini boleh melihat kepada lebih kejayaan selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan piala tersebut untuk musim 2020.