Khamis lepas sepatutnya membawa sinar baharu kepada peminat Bujang Senang dengan pelancaran jersi baharu pasukan Sarawak 2017. Sungguhpun demikian, keadaan bertukar menjadi negatif setelah jersi tersebut diperkenalkan, sekaligus membawa masalah perhubungan pelanggan (PR yang teruk bagi kedua-dua LSC dan FAS.
Penyokong Ngap Sayot rata-ratanya menyuarakan rasa tidak puas hati dan kecewa mereka di media sosial terhadap logo yang baru diperkenalkan. Manakala, sebahagian penyokong mengkritik penggunaan corak ‘bunga terung’ secara berlebihan kerana motif tersebut membawa maksud tertentu dalam tradisi dan kepercayaan masyarakat Iban di Sarawak dan ditak boleh digunakan sesuka hati.
Kedua-dua perkara kontroversi ini masih belum dijelaskan oleh pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan pereka dan pengeluar jersi Sarawak, Lea Sports Centre (LSC), yang masih memilih untuk berdiam diri hingga ke hari ini.
Tindakan pihak FAS dan LSC untuk berdiam diri ini juga telah menjadikan pasukan Sarawak FA menjadi bahan lawak jenaka dalam senario bolasepak tempatan Malaysia terutamanya di media sosial.
Pada pengamatan kami, sehingga artikel ini ditulis, sudah terlambat bagi pihak FAS dan LSC untuk memberi penjelasan berhubung mengapa logo tersebut dipilih dan digunapakai kerana apa apa penjelasan hanyalah dilihat sebagai helah untuk menutup cerita, sekaligus hanya akan menambah debat dan cacian yang kini sudahpun menjangkau ribuan, jika tidak jutaan capaian di Internet.
Pihak FAS dan LSC sepatutnya mengambil kesempatan untuk tampil memberi penjelasan yang munasabah berkenaan logo dan penggunaan corak ‘bunga terung ‘ ketika majlis memperkenalkan pemain dan jersi rasmi tempoh hari agar peminat boleh cuba memahami situasi atau objektif perkara-perkara tersebut dibuat.
Disebabkan ketiadaan penerangan diberi, samada semasa atau selepas majlis pelancaran tersebut, majlis yang bertujuan memperkenalkan pemain muda pasukan Bujang Senang, dikaburi dengan komen-komen berkenaan logo dan corak baju pasukan.
Memandangkan situasi bolasepak Malaysia dan Sarawak bakal menginjak ke era penswastaan bermula musim depan, mungkin inilah masanya untuk FAS dan mungkin LSC untuk melantik pegawai perhubungan awam (PR) untuk menjelaskan isu-isu sebegini kerana adalah menyedihkan untuk melihat sarawak FA terkenal dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.