Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) didakwa sudah mengenalpasti lebih tujuh calon untuk menggalas tugas Ketua Jurulatih Sarawak United kelak.

Menurut Presiden FAS, Posa Majais, calon-calon yang dikenalpasti ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk sesi temuduga.

Posa dipetik berkata demikian kepada laman Suara Sarawak yang berjumpa beliau secara eksklusif.

Dalam artikel Suara Sarawak itu, lima daripada jurulatih tersebut didakwa adalah dari luar negara, yakni Sepanyol, Belgium, Iran, dan Singapura.

Tiga lagi adalah jurulatih tempatan dari Malaysia.

Posa juga dipetik sebagai berkata bahawa pemilihan jurulatih pada kali ini adalah dengan lebih teliti dengan jurulatih yang dipilih bakal bersedia membawa cabaran di Liga Premier.

Turut dimaklumkan oleh Posa kepada Suara Sarawak adalah sasarawak Sarawak United, yakni mahu ke Liga Super pada musim 2021.

Sarawak United adalah pasukan terbaharu di dalam Liga Malaysia yang akan dimuktamadkan minggu hadapan.

Pasukan ini terhasil apabila FAS mengambil alih pasukan Selangor United, dan sekaligus menjenama semula pasukan tersebut kepada Sarawak United.

Adalah difahamkan Sarawak United akan berpangkalan di Kuching.