Musim 2021 dijangka memperlihatkan Sarawak United lebih ampuh untuk mencabar kejuaraan Liga Premier selepas berjaya memburu ramai pemain berkualiti dan berpengalaman di saingan Liga Malaysia.
Ketua jurulatihnya, E. Elavarasan, gembira dengan kehadiran pemain seperti Sandro da Silva, Norshahrul Idlan Talaha, Lee Chang-hoon dan Christie Jayaseelan yang pasti memberikan banyak perbezaan buat Sarawak United berbanding musim lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu kehadiran semua pemain terbabit meletakkan Sarawak United dianggap sebagai pilihan sebaliknya berasakan peluang buat semua pasukan adalah sama rata bagi bersaing merebut kejuaraan.
“Sememangnya saya amat berpuas hati dengan persiapan pasukan bagi hadapi musim depan kerana penambahan ramai berpengalaman malah ada antara mereka yang saya pernah bekerja sebelum ini.
“Sudah tentu di atas kertas, kami sudah punyai satu pasukan yang amat baik di segenap posisi malahan kehadiran pemain import yang semuanya berpengalaman pernah bermain di Liga Malaysia, diharap akan banyak berikan kekuatan tambahan kepada pasukan.
“Mungkin ramai sedang melihat Sarawak United selain Negeri Sembilan antara dua pasukan pilihan utama, namun saya tidak mahu berasa sedemikian memandangkan persiapan pasukan lain tidak kurang hebatnya.
“Jangan memandang rendah atas keupayaan pasukan Kuching FA, Kelantan, Kelantan United dan PDRM yang pasti juga mahukan slot ke Liga Super pada 2022 apabila turut memperkuatkan pasukan dengan pemain-pemain baharu, jadi jangan jadikan perbandingan pemain yang kami miliki meletakkan kami sudah berada di atas landasan selesa berbanding pasukan lain, ” katanya.
Pada musim depan, Elavarasan bakal dibantu bekas jurulatih kebangsaan selain Selangor, Felda United dan Kelantan, B. Satianathan selaku Pengarah Teknikal Sarawak United.