KUCHING – Pada bulan April lalu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Abdul Wahet Uji telah memuji mantan jurulatih Sarawak David Usop, sambil menyatakan bahawa beliau adalah lebih baik daripada dua bekas jurulatih Sarawak FA, Robert Alberts dan K Rajagobal.
Di dalam temuramah oleh akhbar New Sarawak Tribune, Wahet menjelaskan Robert dan Rajagobal telah mengambil pemain tempatan bukan Sarawak secara sesuka hati ketika menjadi jurulatih Sarawak FA, dan ini termasuk membawa masuk pemain yang ‘tidak sehebat’ pemain tempatan Sarawak.
Wahet turut mendedahkan bahawa tindakan kedua-dua ketua jurulatih tersebut telah menyebabkan FAS membazir banyak wang kerana pemain-pemain yang dibawa masuk itu perlu dibayar gaji lebih tinggi, meskipun kemampuan mereka tidak lebih daripada pemain tempatan anak Sarawak.
Di dalam temuramah sama, Wahet turut memaklumkan bahawa pemilihan pemain oleh David adalah sejajar dengan permintaan arwah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, yang mahukan lebih banyak pemain Sarawak bermain untuk pasukan Sarawak FA.
Dalam pada itu, Wahet berharap peminat akan memperingati David sebagai ketua jurulatih Sarawak FA yang telah membantu ‘menyelamatkan’ Sarawak FA daripada turun ke Liga Premier sebanyak dua kali pada era Robert dan Rajagobal.
Untuk intipati penuh temuramah tersebut, anda boleh ke sini. – SarawakCrocs.com




