Pertandingan untuk kerusi panas jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) semakin panas hari ini apabila pihak SarawakCrocs dimaklumkan bahawa Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Jemut Masing dilihat bakal menerima pencalonan kukuh untuk jawatan tersebut.
James Masing yang terkenal dengan kelantangannya berkenaan isu-isu berkaitan Sarawak, bukanlah nama asing di dalam bolasepak Sarawak selepas beliau dilihat acap kali memberikan komen berkaitan bolasepak Sarawak, khususnya berkenaan isu-isu sensitif.
Pelantikan James Masing sebagai Presiden FAS yang baharu dipercayai akan memudahkan lagi FAS mendapatkan dana yang diperlukan untuk pembangunan bolasepak Sarawak, sekaligus menyaksikan pasukan Sarawak memiliki kewangan yang lebih kukuh berbanding kini.
Sungguhpun demikian, terdapat juga beberapa pihak, terutama dari golongan pemerhati bolasepak tempatan, yang berpendapat bahawa Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah adalah calon yang sesuai untuk mendukung masa depan bolasepak Sarawak kerana penglibatan beliau secara aktif di peringkat sukan dan belia Sarawak.
FAS bakal mengadakan Mesyuarat Agung pada 17 September ini dengan semua jawatan tertinggi dipertandingkan.