Challenge Cup: Cukuplah terseksa, Sarawak

Dalam kita mengikuti perkembangan pasukan Sukma Sarawak di Perak, pasukan utama Sarawak, Sarawak FA tewas menentang Terengganu FC II (TFC2) untuk aksi kedua terakhir kejuaraan Challenge Cup 2018.

Kekalahan 1-0 di Kuala Terengganu melengkapkan keadaan “merinsak” (daif) skuad Ian Gillan yang bertandang dengan hanya 13 pemain dan empat orang staf sahaja.

Sudahlah dimalukan dengan hal begini, perlawanan ini pula ditayangkan secara langsung di seluruh negara. Bayangkan tanda tanya penonton apabila melihat bangku simpanan Sarawak FA yang seakan kosong, bukannya hal stadium yang lengang.

Walaupun bertahan tanpa jaringan pada separuh masa pertama, akhirnya Sarawak lebur juga dalam separuh masa kedua. Melalui siaran langsung semalam, kita melihat hanya beberapa pemain yang benar-benar bersemangat, termasuklah penjaga gol. Yang lain seakan dilihat tidak hidup dan lambat bertindak balas apabila diserang TFC2.

Bagi skuad kendalian Tengku Hazman, keputusan ini ialah satu pembakar untuk mengejar slot kedua Kumpulan A. Buat Sarawak, kita semua maklum bahawa slot untuk layak ke separuh akhir sudah pun tertutup.

Sebelum Challenge Cup bermula lagi, sudah nampak tanda-tanda masalah menyelubungi pasukan Sarawak FA . Memang, semasa undian tempoh hari sudah ada kebimbangan dizahirkan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) namun mereka terus berusaha untuk melengkapkan pasukan dengan keupayaan mereka.

Buktinya, Sarawak Energy bersetuju menjadi penaja sehingga tamat kempen tahun ini. Akan tetapi, persoalannya adalah adakah perjanjian penajaan dengan Sarawak Energy melibatkan pasukan Sarawak FA sahaja, atau keseluruhan FAS?

Ini membimbangkan kerana semasa Piala Simposium anjuran bersama Perth Glory FC tempoh hari, nama Sarawak Energy terpampang sebagai antara penaja. Adakah sebahagian besar peruntukan daripada penaja digunakan untuk penganjuran Piala Simposium, dan hanya sedikit untuk pasukan Sarawak FA?

Kelihatannya memang seperti itu. Akibatnya, peruntukan untuk pasukan terpaksa dikurangkan dengan penggiliran pemain dan staf untuk perlawanan luar Sarawak, dan masalah pembayaran gaji yang khabarnya amat meruncing.

Kita hanya mampu mengeluh kerana pasukan yang dahulunya gah menjadi seakan pasukan amatur ketika ini.

Malu kita dengan pasukan Sabah FA, tetangga kita. Adalah lebih baik untuk mengelakkan hal ini berlarutan, FAS harus bertindak dengan membubarkan pasukan Sarawak dan memperkasakan liga komuniti.

Cukup sudah seksaan diberikan kepada pemain, jurulatih, pengurusan dan penyokong. Demi kebaikan jangka panjang, lebih wajar #BubarSarawakFA. – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top