Perjuangan pasukan Sukma Sarawak berakhir malam tadi dalam perlawanan yang agak menarik di Stadium TLDM, Lumut, Perak.
Tewas 2-3 kepada pasukan Sukma Perlis dalam perlawanan ketiga Kumpulan A menutup peluang anak-anak buah Ahmad Fairuz Yunus untuk mara ke suku akhir. Kempen mereka berakhir tanpa sebarang kemenangan, berada di kedudukan terbawah dengan dua mata. Tuan rumah Perak dan Perlis mara ke suku akhir.
Pasukan Perlis membuka jaringan seawal minit ke-10 hasil jaringan Muhammad Syafiq Salmi. Sarawak mengakhiri separuh masa pertama dengan menyamakan kedudukan melalui gol Amirrul Iqbal Bolhi pada minit ke-43.
Separuh masa kedua bermula dengan Perlis mendahului tiga minit selepas wisel untuk menjadikan kedudukan 1-2 dan melebarkan pendahuluan pada minit ke-55 melalui Ameer Faeez. Sarawak tampak tertekan tetapi berpeluang mengancam kubu lawan dan hasilnya pada minit ke-82, Mohamad Zainudin Bohri menghantar penjaga gol Perlis ke arah salah untuk gol penalti.
Dengan kekalahan ini, Sarawak mengiringi pasukan Johor Darul Ta’zim III yang telah tersingkir pada hari sebelumnya.
Perlawanan ini dilihat agak bersih kerana kedua-dua pasukan tidak dihukum dengan sebarang kad. Sarawak nampak bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan tersebut dengan melakukan siri serangan, dan beberapa kali berjaya mengekang asakan Perlis yang juga belum pernah menang kali ini.
Mungkin pencapaian kali ini tidak sebaik skuad Sukma terdahulu, tetapi apa yang boleh kita banggakan ialah ‘kelaparan’ anak-anak muda kita yang ingin memartabatkan negeri yang seharusnya dipandang serius oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
Ahmad Fairuz dan barisan kejurulatihan beliau seharusnya berbangga kerana semangat juang yang ditunjukkan anak-anak buah beliau telah membuka mata bahawa adanya sinar untuk kemajuan bola sepak Sarawak, mungkin bukan untuk pasukan utama tetapi sekurang-kurangnya membuka peluang untuk mereka meluaskan bakat mereka ke seluruh negara.
Sebagai penyokong dan pemerhati, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk bola sepak Sarawak. Pasukan Sukma ini telah mencuba sebaik mungkin, dan kita harus kekal menyokong mereka.
SARAWAKCROCS.COM/RSIPhoto credit: Sukma Perak

Comments
LATEST PROMOTIONSARAWAKCROCS FANTASY PREMIER LEAGUE

4 COMMENTS

Comments are closed.