Pasukan Bujang Senang akhirnya mencatatkan kemenangan pertama di tempat sendiri musim ini selepas menewaskan pasukan bolasepak Persatuan Bolasepak Perak 3-2 di Stadium Negeri.
BABAK PERTAMA
Bermain dibawah kendalian jurulatoh sementara David Usop, Sarawak bermula garang dengan melakukan beberapa gerakan berbahaya di kawasan pintu gol Perak.
Pada minit kesepuluh, serangan bertali arus Sarawak akhirnya memberi keceriaan kepada sekitar 1,600 peminat Bujang Senang yang hadir di stadium selepas Makeche Ndumba menolak masuk rembatan K Gurusamy yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Mohd Syazani.
Perak menggandakan asakan mereka ke atas kubu Sarawak selepas itu, namun percubaan-percubaan Perak dari penyerang import mereka Elias Fernandes mudah bagi penjaga gol Sarawak Sharil Saari.
Pada minit ke-25, usaha Perak akhirnya membawakan hasil apabila Fazrul Hazli berjaya menanduk masuk hantaran lintang ke dalam kawasan penati Sarawak.
Babak pertama berakhir dengan Sarawak dan Perak terikat 1-1.
BABAK KEDUA
Sarawak membuat pertukaran sebaik sahaja babak pertama bermula dengan memasukkan Tommy Mawat untuk Nor Shamie. Pertukaran tersebut membawa kesan positif kepada pasukan tuan rumah apabila sepakan percuma Junior Aparecido mudah ditanduk masuk oleh Gilmar da Silva untuk gol kedua pasukan Bujang Senang.
Keceriaan pasukan Bujang Senang walaubagaimanapun hanya mampu bertahan selama lebih kurang 25 minit kerana Elias mudah menewaskan Shahril melalui sepakan penalti pada minit ke-71 untuk kembali mengikat kedudukan.
Dengan perlawanan semakin menghampiri masa penuh, pasukan Sarawak bangkit mengasak melalui larian dan lorongan cantik pemain gantian Tommy dan Partiban.
Dengan sembilan minit masa penuh tinggal, pasukan Sarawak akhirnya berjaya menemui gol kemenangan mereka apabila Thiago Junio tertampan masuk bola hantaran Tommy Mawat.
Dengan masa kian hampir, pasukan Sarawak bertindak memperlahankan perlawanan sehingga tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan pasukan jurulatih sementara David Usop meraih tiga mata berharga.