Desas desus kini kedengaran bahawa pasukan Bujang Senang sedang sibuk mencari import asing baharu bagi musim 2017.
Komen di kalangan peminat yang rapat dengan pemain turut memperkuatkan lagi khabar angin bahawa hampir kesemua pemain import asing musim ini tidak akan kembali menyarung jersi Bujang Senang musim hadapan.
Menurut apa yang diketahui oleh SarawakCrocs, import asing yang kini menjadi pilihan, adalah dari negara di Amerika latin, walaupun buat masa ini, belum ada persetujuan telah dicapai untuk menandatangani pemain-pemain tersebut. Adalah difahamkan bahawa proses ‘scouting’ kini sedang giat dijalankan untuk mengenalpasti pemain yang sanggup dan mahu bermain untuk pasukan Bujang Senang.
Turut menjadi perhatian adalah beberapa pemain di Australia yang dipercayai akan mengisi slot import asing negara Asia.
Pihak SarawakCrocs telah cuba mendapatkan maklumat lebih terperinci berkenaan status pemain import baharu ini, namun maklumat tersebut gagal diperolehi berikutan rundingan yang masih belum sah dan masih berjalan.
Sebelum ini, telah didedahkan bahawa pasukan Bujang Senang mungkin hanya mengambil tiga pemain asing bagi memperkuatkan pasukan mereka pada musim hadapan, namun ianya bergantung dengan keupayaan kewangan pasukan yang diuruskan oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).
Dengan tumpuan sebelum ini teralih ke Piala Solidariti AFC yang berakhir semalam, tumpuan kini mula ke arah persiapan pasukan bimbingan David Usop bagi musim 2017.
Jika semua pemain import asing dilepaskan oleh David Usop, maka pasukan Bujang Senang boleh mengambil sehingga empat pemain asing, dengan satu daripadanya terdiri daripada negara Asia.