Kelab bola sepak Liga Super, Kedah Darul Aman telah mengesahkan berjaya mendapatkan khidmat pemain muda kelahiran Serian, Sarawak, Rodney Celvin Akwensivie.
Dalam mengumumkan kejayaan tersebut, kelab tersebut telah memaklumkan bahawa Rodney dibawa ke Kedah melalui perjanjian dengan Selangor FC, yang mana pemain pertahanan kental tersebut hanya dipinjamkan ke pasukan Kedah.
Diberi nilai RM742,000 oleh laman web transfermarkt.com, Rodney bukan nama asing di dalam bola sepak Malaysia apabila pemain pertahanan tengah yang berdarah campuran Ghana itu sering menjadi sandaran ketika bersama pasukan PKNS FC sebelum ianya diserap sebagai Selangor 2.
Di Selangor 2, penampilan Rodney juga cukup menyerlah namun saingan sengit dari rakan sepasukan beliau menyaksikan masa bermain pemain kebangsaan bawah-23 tahun negara ini sedikit kurang jika dibandingkan dengan ketika beliau bersama PKNS.
Dengan perpindahan sementara ke Kedah, Rodney pasti akan mengharapkan beliau akan mendapat lebih masa bermain dan seterusnya memantapkan lagi reputasi beliau sebagai antara pemain pertahanan yang sedang meningkat naik di Malaysia.
Walau apapun, perpindahan ke Kedah ini boleh dilihat sebagai satu peningkatan bagi diri Rodney kerana pasukan sebelum ini (Selangor 2) hanyalah pasukan simpanan, manakala Kedah merupakan salah satu gergasi bola sepak Malaysia yang bermain di liga bola sepak tertinggi negara.