Aksi JDT paling digemari peminat bola sepak Malaysia

Aksi pasukan JDT dilihat menjadi pilihan peminat bola sepak Malaysia apabila ianya mencatatkan jumlah tontonan paling ramai peminat bagi tontonan di platform YouTube unifi .

Menurut kenyataan Malaysia Football League (MFL), 132 perlawanan Liga Super telah mencatatkan sebanyak 77,965,339 jumlah tontonan melalui platform YouTube rasmi unifi.

Maklumat tersebut diperolehi menerusi data yang dikumpul sehingga 20 September 2021.

Angka peratus bagi musim 2021 meningkat jika dibandingkan 16,223,282 jumlah tontonan Liga Super 2020 dengan hanya 66 perlawanan berlangsung pada tahun lalu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam tempoh pandemik COVID-19 ketika itu.

Bagi tontonan secara siaran langsung untuk 132 perlawanan Liga Super 2021 yang disiarkan menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi), mencatatkan rekod 35,891,793.

Siaran langsung Liga Super 2020 di platform YouTube unifi bermula perlawanan minggu kelima sehingga minggu ke-11 sebagaimana penaja utama Liga Malaysia, Telekom Malaysia (TM) mengumumkan siaran langsung Liga Malaysia secara percuma pada perlawanan kelima.

Ini kerana kali terakhir penonton dibenarkan turun ke stadium pada perlawanan Liga Super ketiga bagi tahun 2020 (11 Mac 2021) dan perlawanan ke-13 (9 Mei 2021) bagi tahun 2021 susulan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

// DAPATKAN JERSI ORIGINAL JDT FC

Bagi Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, data terbaharu jumlah tontonan perlawanan Liga Super di YouTube unifi pada musim 2021 membuktikan bahawa Liga Malaysia masih dekat di hati peminat bola sepak tanah air serta mempunyai aura tersendiri.

“Sudah pasti ini satu angka yang cukup positif di mana perkembangan Liga Malaysia khususnya Liga Super 2021 terus diikuti peminat bola sepak di negara ini. Di sebalik pandemik COVID-19 yang melanda, saingan Liga Super terus rancak dan mendapat perhatian semua.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meneruskan saingan dan tidak lupa kepada pihak unifi yang mengambil inisiatif menyiarkan siaran langsung Liga Super 2021 secara percuma menerusi platform unifi dan juga RTM bagi memastikan semua penyokong dapat menonton perlawanan ketika kerajaan menetapkan larangan kemasukan penyokong sebelum ini.

“Saya percaya dengan inisiatif unifi dan RTM ini dapat menyemarakkan bukan saja Liga Malaysia malah menitipkan semangat buat industri bola sepak tanah air yang terkena tempias akibat pandemik COVID-19.

“Tidak lupa juga kepada semua penyokong yang terus memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan dalam aksi Liga Super dan diharap sokongan ini berterusan bagi saingan TM Piala Malaysia yang kini menyambut ulang tahun ke-100,” katanya.

Berdasarkan data tontonan musim ini, pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac 2021 menjadi tumpuan utama di platform YouTube unifi dengan mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 1,710,079.

Aksi JDT bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April 2021 pula menjadi perlawanan kedua paling banyak tontonan dengan mencatatkan 1,684,922.

Diikuti aksi ketiga tertinggi jumlah tontonan iaitu Penang FC menentang JDT di Stadium Bandaraya pada 8 Mei 2021 dengan rekod 1,630,076.

Berdasarkan data sehingga 20 September 2021, secara keseluruhan JDT menjadi pasukan paling banyak jumlah tontonan di platform YouTube unifi sebanyak 22,600,959 diikuti Kedah Darul Aman FC iaitu 15,901,863 dan Penang FC mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 13,211,869.

Manakala rekod tontonan siaran langsung menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi) pula menyaksikan tiga perlawanan melibatkan JDT mencatat jumlah tertinggi iaitu aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2021 sebanyak 698,341 dan melawan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman pada 4 Mei 2021 berjumlah 670,706.

Rekod tontonan siaran langsung ketiga tertinggi adalah aksi JDT menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac 2021 iaitu 651,295.

Perlawanan yang merekodkan gol terbanyak dalam satu perlawanan dalam kempen Liga Super 2021 melibatkan pertemuan Perak FC dan Penang FC dengan mencatatkan keputusan 3-5 sementara penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2021. – MFL

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top