Di kala Pasukan Sarawak FA bakal menentang pasukan UKM petang ini, timbul persoalan sekiranya cabaran mereka di dalam Challenge Cup 2018 diberi cukup perhatian.
Jika dilihat dari sudut promosi, baik di media sosial ataupun di skrin besar di Petra Jaya, adalah agak jelas bahawa pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) memberi lebih perhatian kepada perlawanan persahabatan diantara Sarawak FA dan pasukan Perth Glory FC yang bakal ke Kuching.
Cabaran pasukan Liga Premier Sarawak FA di Challenge Cup 2018 seolah-olah hampir dilupakan sehinggakan hampir semua ‘post’ di laman Facebook rasmi FAS hanya berkenaan perlawanan menentang Perth Glory, dengan hanya satu atau dua maklumat berkenaan Challenge Cup.
Malah, kami tidak terkejut ramai peminat lebih mengetahui tentang perlawanan Perth Glory FC dari wujudnya perlawanan Challenge Cup hari ini! (Tahukah anda, Sarawak FA bakal menentang UKM hari ini?)
Sememangnya kami tidaklah pasti dan tidak tahu jika FAS kini meletakkan lebih kepentingan terhadap perlawanan di antara Sarawak FA dan Perth Glory FC, namun jika ini adalah hakikatnya, ianya merupakan sesuatu yang sangat menyedihkan.
Bukan kami mahu menidakkan kehebatan Perth Glory FC serta kedatangannya ke bumi Sarawak, tetapi Sarawak FA harus menyeimbangkan promosi dan perhatian kepada perlawanan kompetitif seperti Challenge Cup.
Ini adalah kerana Challenge Cup merupakan satu kayu pengukur yang baik untuk menilai samada pasukan bimbingan Ian Gillan mampu memberi cabaran di peringkat lebih ‘biasa’ di dalam bolasepak Malaysia.
Kemenangan di dalam Challenge Cup mampu mengubah cara peminat menilai dan melihat Sarawak FA, namun kemenangan ke atas Perth Glory tidak akan membawa banyak nilai kerana ianya hanyalah perlawanan persahabatan.
Cuba bayangkan jika Sarawak FA mampu muncul juara di Challenge Cup? Ianya pasti akan menjadi satu titik manis bagi semua pihak, terutama FAS, walaupun piala ini dilihat sebagai piala pasukan lemah di Liga Malaysia.
Pada hemah kami, menjadi pasukan terkuat di kalangan pasukan lemah adalah lebih baik daripada menjadi pemenang di dalam perlawanan persahabatan, tetapi menjadi pasukan terlemah di dalam Liga Malaysia.
Dalam pada itu, kami mengesyorkan pihak FAS agar memberi juga tumpuan kepada Challenge Cup. Buatlah promosi yang setara dan setimpal agar peminat tahu akan perkembangan pasukan di dalam Challenge Cup.
Ianya mungkin piala yang baharu dan disertai pasukan lemah, namun kini ianya adalah satu-satunya pertandingan yang boleh membantu mengembalikan minat dan keyakinan peminat kepada bolasepak Sarawak. -SARAWAKCROCS.COM/CDN